Weekly Antidote

Sabtu, 22 Mei 2021

SEBULAT AKSARA

Semalaman - tercarinya sang benak
Gumpalan aksara yang manis dibuat pena.

Andai bermanfaat - tidaklah walang pembacanya.
Andai kritikan - pincangnya raga,
Seolah hilang budi bicara - pahit lagaknya suci tanpa dosa dan noda.

Perlukah bulat huruf yang teruar? 
Bercampur pahit dan kelat maksud,
Buah minda yang kadang berpura,
Nyaman dan lembut pujangga yang patut,

Hakikatnya,
Lambang manusiawinya tertakluk,
Pada jernihnya ayat - bukan kata keparat.

MANUSIA - LEBIHNYA PADA DIRI SENDIRI.

Termahfum satu lembangan,
Manusia pelupa dan melalaikan,
Sejenak bolak fikiran, sekejap juga perubahan,
Kadang terlepas - bebas dalam kejahilan.

Aku mohon Tuhan.
Satukan hatiku dengan keredhaan.
Persembahkan aku janji keampunan,
Dakaplah hatiku dengan kekasihan.

Sesungguhnya, kaulah seutuh pergantungan.

Ahad, 21 Mac 2021

#2 Takkan Terhenti Sebuah Pengharapan

 Assalamualaikum, sayangku Qalam Azirah!

Sesungguhnya, hati kena kuat dan jiwa kena tenang. Begitulah, nikmat aman dalam diri yang perlu kita ada.

Kicauan burung gagak mempersona,

Langit petang nan indah melabuh datang,

Sungguh permata hatiku ini keriangan,

Berlangitkan biru langit dan putih gemawan,

Suatu petang burung hilang,

Langit gelap berarak laju meningkah

Seribut fikir dan hati yang memandang

Ada keruh di balik wajah yang ketenangan.

Begitulah agaknya, payau hati manusia  

Terluka tidak terludah pahit di lidah yang lain.

Tetap ditelan payau deria tak lagi menanggung

Walau wajah biasa tiada raut masam

Tahukahkau belahan jiwa yang dibuang sukma cinta kasih sesama manusia? 

Rasanya apakah yang paling perit dari itu?

-

Manusia adakalanya kuat meneutral asam di jiwa

Karat di kepala

Tapi

Adakalanya jua dia hilang kudrat

Tidak nampak teguh bicara dan nafas kekarnya

Hilang ditelan panorama jiwa yang hilang semangat tiba-tiba

Namun

Satu saja yang perlu kita semua tahu

Ingatlah Tuhan Mendengar Segalanya

Luahkan segala sendi rasa yang terbenih tanpa kau jemput

Kerana yang namanya perasaan.

Bukan untuk dinafikan

Tapi dirawat dan diluahkan.

-

Kau tahu tak?

Tuhan Sayang Pada Kita.

Sesungguhnya.

Yang membuatkan aku kuat

Kerana Tuhan Sentiasa Ada Untukku

Walau aku ditinggal keseorangan

Dibuang erti rasa sebagai manusia

Digilis suara jiwa yang merakus

Aku tahu 

Memang manusia tidak diciptakan untuk memahami apa-apa kalau bukan dia yang mahu.

Jadi, kadang-kadang, penjelasan itu perlu.

Tapi

Kadang-kadang, ia hanyalah titik kedukaan.

Bilamana cerita kau itu sekadar bahan gelak orang.

Percayalah pada Tuhan!

Percayalah pada diri kau.

Kerana aku percaya pada diriku.

Bukan kerana sesiapa yang patut dipersalahkan.

Cumanya...

Manusia saja kurang memahami

Kurang menyelami

Setiap isi hati

Walau hanya sekelumit yang datang menumbuh.

-

-

Aku tahu. 

Susah kan.?

Tapi, menyangi diri itulah yang menyelamatkan kau daripada tipu muslihat sang dunia.

Bermulalah dengan percaya diri.

Sesungguhnya, Tuhan sedang mendengari dan menemani.

Sepanjang jalan mati.

-



Ahad, 14 Februari 2021

Nota Perpisahan - Bahagian 2

 Salam dariku, Qalam Azirah



DARI LEMBARAN JUZUK HIDUP SEORANG AZIRAH

Sebermulanya penghijrahanku pada 2 Januari 2020 di sekolah ini, aku menggadaikan sebuah perpisahan kerana sebuah kejayaan.

Yang pada kiraanku, aku akan berjaya apabila mempunyai masa dan ruang untuk diriku sendiri.
Asbabnya, mereka tidak seuntung kita.
Susah untuk aku ceritakan sebuah kepahitan daripada muka surat yang sedih dan menyakitkan bagi mereka itu, cumanya... aku hanya mampu menukilkan di sini bahawa mereka hanya baru bertatih dalam perjalanan meskipun umur mereka berbelas tahun.

Mereka terseksa meskipun wajah mereka tampak biasa.
Ah! Susah untuk aku kongsikan pengalaman aku bersama mereka.

Kisah hidup.
Keluarga
Masayarakat
Diskriminasi
Fikiran
Mental

Hanyalah sebuah dongengan pada lensa mata dunia.
Tapi... bukan buat mereka.

Daripada mereka, aku belajar perihal dunia. Yang sebenarnya...

Namun, aku terpaksa berpisah kerana ujian yang akan datang.
Hanya seminggu lagi dari sekarang, setiap daripada kami akan diuji.

SPM.

Dan, kerana SPM, keputusan untuk aku mengangkat kaki mencari ruang, dan petunjuk dari Tuhan, aku dipertemukan dengan simpang kehidupan.

Yang jauh daripada tanggapan.

Tapi, rupanya ada pengajaran yang tersingkap di hujung persimpangan.

Aku melihat dunia yang lain di sini.
Ya... pada mulanya, aku akui bahawa pertemuan pertama tidaklah indah seperti imaginasi manusia yang bergelar penulis. 

Jumpa ramai kawan.
Suasana selesa.
Cikgu-cikgu yang membantu.

Aku terkabur dengan kesedihan, sebenarnya sehinggakan yang terserlah di ruangan mata, hanyalah keburukan dan kekesalan.





Lantaran sekolah yang kupohon tiada menerimaku, jadi aku hampa.
Terpaksalah, aku terima setiap suratan di luar kawalan dan kehendakku.

ALLAH LEBIH MENGETAHUI

Aku risau, barangkali apabila menjejakkan kakiku ke sekolah itu buat kali yang pertama.

Pada 16 Mac 2021 nanti, aku akan melangkah kakiku keluar daripada sekolah itu buat kali yang terakhir sebagai pelajar di situ.

LIKU HIDUPKU BERMULA DI SINI


Aku dimasukkan ke kelas Sains Tulen. Ya! Kelas yang pandai-pandai. Aku was-was, hakikatnya. Asbabnya, aku memang mahu tukar aliran iaitu aliran sastera kerana aku memang suka menulis.

Menulis adalah hatiku.
Jiwaku...

Tapi, banyak juga dipertimbangkan memandangkan sudah setahun aku belajar subjek-subjek ini.

Fi
/zik
Biologi
Matematik Tambahan
Kimia

_Walaupun aku sudah muak, maaf_
Jadi terpaksalah aku teruskan. Malah, sekolah ini juga tidak menyediakan aliran sastera.

Sains Tulen di mana-mana...

Aku dimarahi, dipanggil, diuji, ditanya... kerana aku begitu pendek akal dalam subjek-subjek berikut. Cikgu mula memberiku perhatian yang lebih, kerana aku agak 'kurang' ilmu.
Nama 'Azirah' tidak akan aman dalam sehari. Ada saja yang menggugat keamananku setiap hari, pada mulanya.

Lama-kelamaan, aku sudah biasa. Sebatilah diri dan hatiku dengan yang namanya perjuangan - ada manis - ada pahit.

Ada jatuh dan bangun.



Sejak itu...
/*A/
Aku mengerti semuanya. Niat cikgu-cikgu hendak mengajar, biarlah caranya bagaimana.
Demi melihat kita berjaya, itulah yang menjadi tonggak harapannya.

Aku rindu - menjadi budak wanted
Haha...

Setiap daripada mereka meninggalkan jejak di hatiku.
Aku sedar, hidup ini akan berliku. Tapi, liku-liku itu adalah sebuah Muhibbah yang bakal mendendangkan kebenaran dan pengajaran.

Alhamdulillah, Dia Maha Adil.

Kini, tinggal kurang sepurnama, aku akan meninggalkan segala memori yang tercipta di sini.

Izinkan aku menukilkan sebuah jawapan kepada persoalan ini,

"Bahagiakah perjuangan aku di sini?"

Duhai perjalanan...
Biarpun perit sebuah laluan yang berada di hadapan, hanyalah Tuhan yang tahu akan pengakhiran.
Semuanya perlukan pengorbanan, yakni kesusahan dan kekecewaan.
Adalah sebahagian daripada penghidupan...

Aduh, sakitnya rasa apabila ditertawakan akan kelemahan diri sendiri. Tapi, begitulah manusia, ada yang kurang dan ada yang lebih. Jadi, aku tidaklah kecewa.

Aku bahagia dan sedih. Tapi, aku gembira. Ah! Bercelarunya perasaan tetapi begitulah, kita akan gembira pada hujungnya.

Aku gembira,
Saatnya aku mulai bersyukur atas pengalaman yang diberi Tuhan.
Aku mencelik mata.
Aku lihat dunia.
Penuh kebaikan dan kebaikan.
Aku tahu, kepahitan boleh saja bertukar rasa.
Apabila... kau mulai pandang ke arah hikmah dan kebaikan. 

Dia sedang melambai ke arah kita dengan harapan,

"Jangan bersedih, Tuhan aturkan sebuah cerita yang indah. Namun, keindahan itu lebih indah apabila kejatuhan dan kebangkitan bisa kenal antara satu sama lain"


Nota Perpisahan - Bahagian 1

 Salam daripadaku, Qalam Azirah...


Di sini, aku sambungkan titik perjalanan hidup sebagai pencinta.
Pencinta ilmu

Demikianlah perjalanan hidup yang kemungkinannya - bukanlah makan hati berulam jantung - tapi, makan jantung berulam hati.

Hahahaha... asbabnya, keputusan yang dibuat sendiri bukanlah disebabkan orang lain.

Akulah sang gadis, empunya cerita.
Payau cerita yang hujungnya berhikmah takku sesali waima sesaat.

Sebermulanya aku mengambil suatu keputusan. Fikirku, jikalau aku tinggal di bawah jagaan orang, aku tidak akan menjadi beban kepada keluargaku. Aku harus akui bahawa aku perlukan banyak keperluan.

Buku.
Buku rujukan.
Yuran.

Ah! Takutlah untuk aku pinta wang. Apatah lagi yang angkanya melebihi kemampuan - susah - aku tidak mahu beri beban.

Nawaitu ku jelas. Bukan, kerana persekitaran atau kebebasan. Alhamdulillah, Dia masih memberikan aku kesempatan untuk berkeluarga dengan baik. Syukur - Setiap daripada diberikan kelebihan dan kekurangan - Jangan pernah anggap kita yang sebaliknya.

Jadi, aku pergi bersama janji dan pengorbanan.
Tapi, tidak kusangka, aku yang tersepit.

Namun, tidak akutangis untuk itu. Walaupun, aku harus beri sesuatu yang aku ada. Kepada mereka, aku menerima sebuah pengajaran yang besar dan tidak terganti.

Hikmah Tuhan tiada siapa yang tahu

Saat aku perlukan apa yang aku hilang, pengorbananlah yang terpaksa aku lakukan.
Untuk kali yang keduanya...

Alhamdulillah, IstikharahNya sungguh tepat dan menenangkan. Aku terima dengan hati yang terbuka apabila aku dipindahkan ke sini.

SMK Subang

Dan, semuanya akan dinoktahkan.
Apabila masanya kan tiba.

Begitulah keadaanku kini. Persekolahanku akan tamat pada purnama depan.

Nota ini adalah secebis daripada kehidupan.

16 Mac 2021...
Perjuanganku di desa ini telah mengibarkan kesudahan.

Insha Allah, dengan IzinNya.

Sabtu, 13 Februari 2021

Kekuatan Sebenar Ada Pada Mu - Bahagian 1 (Puisi)


 Salam, Qalam Azirah.
Hari ini, aku ingin ketenangan membelai peraduanku. Bersama tinta yang penuh barakah dan kebahagian, Semoga Tuhan merahmatiku, ibu bapaku dan seluruh isi alam ini.

Kuatkan Rentak Kalbumu
Karya : Qalam Azirah

Siapalah sebenarnya si pemenung?
Yang hanya tahu mengatur langkah
Tanpa terlihat olehnya kabur jendela
Tidak langsung memunggah cita-cita
Walhal banyak yang mengata.

Sampailah tiba saat terbongkar
Mana mungkin semudah itu ranjaun dunia
Tidak - semena-menanya, dia tertawa
Bukan mudah sang pemenung
Warasi akalmu dengan tajam hujung mata
Nantikan kau ketemu makna buana

Ya - aku tidak sebodoh dan sembereno
Biarlah katamu bagai veto tiada kompromi
Asalkan hati aku kuat dan kental
Akal budi manusia tiada yang sama dan serasi
Ingatlah kotanya janjiku bukan omongan sembarangan
Yang terlihat cerdas pada nama dan royalti

Kesyukuran Terlihat Pada Hati - Bahagian 1

 Pernah dengar,

"The real happiness is gratitude"

??

Ah, kadang-kadang malas juga aku mahu ceritakan banyak perkara.

Sebagai teladanlah, katakan.

Tapi, perlu juga!

Kalau tak, ada yang lupa sekecil-kecil kenikmatan yang Tuhan bagi.

Kepada kita semua...


ALLAH MAHA BAIK DAN PENYAYANG

Salam dariku, Qalam Azirah.
Aku tahu kita ini manusia. Tidak lari daripada masalah yang banyak dan kadang-kadang itu, terlalu penat untuk buka mata dan lihat dunia ini lagi, bukan?

Aku pun kadang-kadang begitu juga.

Tapi, aku yakin ujian daripada Tuhan itu sebagai petanda.

Ceritanya begini,
Ada mak-ayah yang pandang pada baik semata. Melihat anak sendiri, bukanlah jijik atau apa, cuma geram saja sebab terlalu 'jahil' untuk buat satu perkara yang disuruh atau pendek cerita, tidak cekap, malas atau kurang 'ajar', mungkin?

Aku tahu hati mana yang tidak parah.
Anak yang ditatang semacam bukan.

Kononnya, asyik membuat kebaikan kepada mak-ayah, kenapa Tuhan anugerahkan aku anak yang sedemikian?

Ah! Banyak sebenarnya yang sudah beruban, matang pada cara dan pekerjaan, tapi untuk sebuah pemikiran, mungkin sejenak dan selangkah lagi!

Aku sedih amat

Kerana yang terkorban nanti, pastilah si anak!
Yang mungkin pada zahirnya degil dan dungu, lambat dan malas
Tapi, bukanlah pada hati yang sentiasa berusaha namun belum tiba saatnya...

Hai anak-anak. 
Aku simpulkan sebuah warkah ini. Untuk aku khususnya dan juga pembaca.

Mulalah sebuah kebaikan walaupun tidak nampak dek mata. Lagi-lagi, pada orang tua. 
Percayalah, suatu saat nanti mereka akan merasakan kesyukuran ada pada bibit kelahiranmu kelak.

Mereka tidak akan sesal.

Tetaplah berdoa pada Tuhan akan syurga buat mereka kelak. 
Jasa.
Masa.
Keringat.

Semuanya  tidak akan terbayar.

Jikalau sulit untuk kau memahami dan membahagiakan mereka, tetaplah pohon dengan hati yang jujur.

Katakan pada Tuhan,

"Ya Tuhanku, aku tidak mampu mengubah sesiapa. Maka, berilah aku kekuatan untuk aku menerima sebuah takdir dan suratan. Kerana seperit mana kata-kata dan penghinaan, sesungguhnya jasanya tidak mampu aku bayarkan dengan segala kemewahan di alam ini. Tuntutanku pada mereka melebihi perasaanku sebagai manusia"




Hai mak-ayah.
Ketahuilah anak-anakmu sedang berusaha.

Demi redhamu

Aku tahu pedih juga kelakuan mereka...

Tapi, lihatlah mereka dengan apa yang mereka usahakan.

kadang-kadang, manusia tertipu dengan luaran.

Terimalah mereka seadanya. Syukurlah akan setiap ujian dan kelebihan yang Tuhan berikan.
Tidak mengapalah kalau kawan-kawan ada anak yang bijak-pindai, tidak mengapalah!

Rezekilah namanya, kan.

Percayalah yang namanya ujian. Pada dasarnya, tiada anak yang akan membenci seseorang yang melahirkannya.

Kadang-kadang, mungkin kerana dendam dan perasaan yang menghanyutkan?
Bantulah mereka. Sayangilah mereka. Doakanlah mereka. 

Aku percaya.

Kerana aku juga anak.

Yang banyak kerenah dan keletah...

Tapi, aku juga manusia yang melihat bukan hanya pada kaca mata sang ibu-bapa tapi juga anak-anak yang hatinya banyak segi.

Mulakanlah hari-harimu dengan kemuliaan yang sedia ada pada darjatMu daripada Tuhan.
Seseungguhnya, 

"Kekerasan tidak pernah tewas dengan kelembutan"

SEBULAT AKSARA

Semalaman - tercarinya sang benak Gumpalan aksara yang manis dibuat pena. Andai bermanfaat - tidaklah walang pembacanya. Andai kritikan - pi...